Tanam pokok di kawasan perumahan perlu kelulusan PBT – Zuraida

Tanam pokok di kawasan perumahan perlu kelulusan PBT – Zuraida

AYER KEROH 25 Feb. – Kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengusahakan tanaman di sekitar kediaman di kawasan perumahan diperlukan bagi memastikan tindakan itu tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, amalan pertanian bandar itu baik dalam usaha memanfaatkan kawasan lapang dengan aktiviti berfaedah selain menyahut saranan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menggalakkan program pertanian bandar.

“Bagaimanapun, kelulusan PBT untuk mengusahakan tanaman di sekitar kediaman mereka perlu bagi memastikan tindakan itu tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan.

“Perancangan berkenaan iaitu menggalakkan pertanian bandar sudah dimasukkan dalam Local Agenda 21 (LA21) dan kementerian berharap amalan tersebut dapat diperluaskan dengan sokongan penduduk serta PBT terlibat,” jelasnya.

Zuraidah berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai cadangan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub agar PBT melaksanakan amalan pertanian bandar.

Terdahulu, Zuraida melancarkan Kad Pintar yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Kompleks Melaka Mall di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew; Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Mansor Sudin; Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masban; Ketua Pengarah Eksekutif Mobility One Sdn. Bhd, Datuk Hussian A. Rahman; Setiausahanya, Muhammad Shahrul Hafidz Ab. Rahim.

Mengulas mengenai kad pintar tersebut, Zuraidah memberitahu, MPHTJ merupakan PBT pertama di negara ini yang memperkenalkannya untuk memudahkan pelbagai urusan pelanggan samaada bagi urusan semakan mahupun bayaran bil secara atas talian.

Katanya, kad pintar yang mengunakan sistem pembayaran bil secara elektronik itu wajar diperluaskan ke seluruh PBT khususnya di negeri-negeri besar seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor.

CATEGORIES