Tembok penahan ombak jadi jeti haram?

TANJUNG KLING 11 Feb. – Sebuah tembok penahan ombak sepanjang 300 meter di Tanjung Kling di sini, didakwa dijadikan sebagai jeti secara haram sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Kegiatan tersebut dipercayai dijalankan oleh sebuah syarikat tidak sah yang memungut keuntungan ribuan ringgit bagi melakukan kerja-kerja melibatkan operasi perkhidmatan bot.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee mendakwa perkara itu mula dikesan sejak November tahun lalu dan amaran sudah dikeluarkan kepada pihak terbabit.
“Malah, ia (tembok) itu juga diubah suai lengkap dengan kemudahan seperti tiang pengikat bot, pagar diperbuat dari keluli tahan karat serta sebuah bangunan pejabat, seolah-olah ia benar-benar sebuah jeti pelabuhan.
“Hasil semakan dengan pihak bertanggungjawab, mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran untuk dijadikan sebagai jeti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan operasi pemantauan di sepanjang perairan Klebang dan Tanjung Kling, malam tadi.
Turut sama pada operasi itu, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri dan Polis Marin.
Norhizam berkata, difahamkan pengusaha jeti terbabit juga pernah beberapa kali membuat permohonan untuk menjalankan operasi di tembok penahan ombak itu sejak 2015 namun tidak diluluskan.
“Selagi tiada kebenaran, mereka tidak boleh buat sesuka hati. Jima berlaku sesuatu kejadian tidak diingini siapa yang harus dipertanggungjawabkan?,” katanya.
Jelasnya, laporan polis sudah dibuat dan beliau menyerahkan hal tersebut kepada pihak terbabit untuk menjalankan siasatan lanjut.