Tempat tinggal pekerja kotor, majikan diberi notis

Tempat tinggal pekerja kotor, majikan diberi notis

LENDU 6 Feb. – Sebuah syarikat penternakan ayam di sini dikenakan notis pematuhan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Melaka (JTKNM) kerana menyediakan tempat penginapan pekerja yang kotor dan tidak terurus.

Tindakan itu dikenakan selepas premis itu diperiksa dalam Ops Ayam semalam membabitkan lapan kakitangan JTKNM yang dibantu oleh 22 anggota Jabatan Imigresen (JIM) serta kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam operasi yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian, JTKNM turut memeriksa dua lagi premis berasingan di Masjid Tanah dan di sini.

Pengarah JTKNM, Rosli Jantan berkata hasil pemeriksaan tersebut, pihaknya mendapati syarikat penternakan ayam itu juga gagal menyediakan kemudahan katil, tilam dan almari untuk pekerjanya.

“Berikutan itu, kita mengeluarkan notis tidak mematuhi Garis Panduan Penetapan Standard Minimum Penginapan Pekerja 2018,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata dalam pemeriksaan kedua yang dilakukan di sebuah premis di Masjid Tanah, syarikat terlibat didapati tidak mempunyai daftar peribadi pekerja tempatan dan tidak mepunyai daftar dan syarat pekerja tempatan.

“Manakala pemeriksaan di premis seterusnya di Lendu, JTKNM mendapati majikan tidak melakukan potongan gaji pekerja serta tidak mempunyai butir upah dan elaun kakitangannya,” katanya.

 

CATEGORIES