Tentera darat sentiasa siap siaga – Ahmad Hasbullah

AYER KEROH 29 Jan. – Panglima Tentera Darat (PTD), Jen. Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi akan pastikan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah pentadbirannya sentiasa bersiap siaga menunaikan
tanggungjawab yang diamanahkan.
Katanya, ini kerana hanya mereka terpilih sahaja yang memasuki alam ketenteraan, sekali gus termaktub dengan peraturan dan undang-undang ketenteraan.
Beliau berkata, setiap pegawai dan anggota bawahan tidak boleh leka kerana bila-bila masa sahaja perkhidmatan mereka diperlukan.
“Itulah fokus saya, tentunya untuk menjadi tentera memang suatu perkara yang susah dan untuk mengekalkan seseorang anggota tentera itu, lagi susah,” katanya.
Ahmad Hasbullah ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, hari ini.
Mengiringi Ahmad Hasbullah, Panglima 3Divisyen, Kem Terendak, Majer Jeneral Datuk Mohammad Ab. Rahman dan Panglima 1Briged Seremban, Brigadier, Jen. Loh Kooi Leong.
Beliau menjawat jawatan PTD pada 3 September 2018 menggantikan penyandang terdahulu, Tan Sri Zulkiple
Kassim yang bersara wajib.
Ahmad Hasbullah, 59, memulakan kerjaya dalam bidang tentera selepas ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981 apabila menamatkan latihan di Officer Cadet School, Portsea, Australia.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini punyai kelulusan Diploma in Training and Development (Leicester University UK), Master in International Relations and Strategic Studies (Lancaster) dan Master of Strategic Studies (USAWC).
Sepanjang kariernya, Ahmad Hasbullah telah melaksanakan tugas-tugas pemerintahan, staf di pasukan dan markas formasi serta sebagai jurulatih.
Beliau berpengalaman terlibat secara langsung memerangi ancaman komunis di sempadan tanah air sehinggalah
perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989.
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini pernah berkhidmat sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Askar
Melayu Diraja pada tahun 1995, Panglima 11 Briged pada tahun 2005, Panglima 3 Div. tahun 2007, Panglima Medan Tentera
Darat pada 2009 dan Timbalan Panglima Tentera Darat pada 2011.