Terap jati diri dalam diri belia

SUNGAI RAMBAI 19 Mac – Jati diri sangat penting diterapkan dalam diri golongan belia masa kini.
Pengerusi Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Seri Pengkalan Lambak, Sungai Rambai, Rozikin Mohd Shah berkata, ini kerana mereka merupakan pelapis kepada pemimpin sedia ada.
Menurutnya, tanpa jati diri kukuh sudah tentu sukar untuk memastikan sesebuah organisasi itu sama ada di peringkat bawah mahupun tertinggi dapat bertahan.
“Dalam usaha memastikan belia terus menjadi golongan yang mampu menerajui masa hadapan negara dengan baik, pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan.
“Sama ada dengan menganjurkan aktiviti atau program, secara tidak langsung ia dapat membantu mereka sedar hala tuju seorang belia itu,” katanya kepada MelakaKini.
Jelas Rozikin, bagi merealisasikan matlamat itu, pihaknya tidak ketinggalan menganjurkan program Ekspidisi Mendaki Bukit Broga baru-baru ini.
“Aktiviti ini antara kaedah dijalankan untuk memupuk semangat kerjasama, bantu-membantu selain tanggungjawab dalam diri peserta.
“Bukan sahaja ahli-ahli MAYC Seri Pengkalan Lambak, malah wakil dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sungai Rambai fasa 2 turut serta dan ini meningkatkan lagi kefahaman antara kedua pihak yang mana melibatkan golongan belia dan pemimpin kampung,” katanya.
Seramai 40 peserta bersama lima wakil dari MPKK Sungai Rambai fasa 2 menjayakan program tersebut yang merupakan aktiviti tahunan MAYC Seri Pengkalan Lambak.
“Pelbagai cabaran terpaksa mereka tempuh sepanjang pendakian dan ia memerlukan semangat kerjasama tinggi untuk memastikan mereka berjaya sampai ke puncak,” katanya peserta perlu mendaki setinggi 400 meter dari aras laut.