Terharu rumah berwajah baharu

BUKIT RAMBAI 26 Feb. – Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan warga emas ini apabila rumah yang didiami sejak belasan tahun lalu, kini berwajah baharu.
Md Nor Jantan, 59, berkata, jika sebelum ini dia tidur tidak lena memikirkan keadaan rumah yang tidak sempurna, tetapi menerusi program Skim Rumah Baik Pulih Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), dia dapat meneruskan hidup bersama dua cucunya dengan lebih baik dan selesa.

CUCU Md Nor yang memerlukan perhatian serius dipangku ibu angkatnya.
Menurutnya, walaupun keadaan rumah semakin usang tetapi dia terpaksa menetap di situ kerana kekangan sumber pendapat dan kedaifan hidup.
“Masa arwah isteri masih ada, saya memang bekerja seperti biasa. Tetapi, bila dia meninggal tahun lalu, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga salah seorang cucu orang kurang upaya (OKU) yang baharu berusia lapan tahun.
“Masalahnya, cucu saya tidak boleh berjalan atau menguruskan diri seperti orang lain. Dia memerlukan perhatian sepenuhnya,” katanya ketika ditemui MelakaKini di Kampung Datuk, di sini.
Jelasnya, bagaimanapun, dia tetap cuba mencari masa untuk melakukan kerja-kerja memesin rumput sebagai pendapatan tambahan.
“Saya buat pun cuma di kawasan rumah sahaja sebab tak boleh tinggalkan cucu sendirian di rumah.
“Lain-lain pendapatan saya bergantung sepenuhnya dari bantuan MAIM dan Jabatan Kebajikkan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beban Md Nor bertambah apabila dia terpaksa menanggung kos rawatan dan perbelanjaan membeli susu serta lampin pakai buang cucunya itu.
“Sejak ditinggalkan bersama saya pada usia enam bulan, memang saya dan arwah isteri yang menjaga dia dan abangnya,” katanya.
Sementara itu, MAIM membelanjakan sekitar RM18,000 untuk membaik pulih rumah tersebut yang memakan masa kira- kira tiga minggu sahaja untuk disiapkan.
Antara kerja-kerja dijalankan termasuk menukar dan membaiki bumbung, syiling, tandas, dapur, pendawaian eletrik dan lain-lain.
Ia mendapat kerjasama Markas 3 Divisyen (Skuadron ke 9 Rejimen Askar Jurutera Diraja Kem Terendak Melaka).
Majlis perasmian penyerahan program Skim Rumah Baik Pulih Rumah Asnaf itu disempurnakan Setiausaha MAIM, Azman Aziz.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Vateren Tentera Tidak Berpencen Negeri Melaka, Alias Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail.