Teruja Ketua Menteri datang rumah – Robiah
Pemimpin berjiwa rakyat...

AYER KEROH 28 Feb – “Bukan senang pemimpin sendiri nak turun ke rumah, syukur Alhamdulillah,” itu luahan wanita warga emas apabila kediamannya dilawati Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Robiah Mohamad, 69 isteri kepada Ab Ghani Md Saharu, 74, antara lima penerima bantuan menerusi Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.
Ab Ghani menerima bantuan keperluan asas, wang tunai dan kerusi roda yang disampaikan sendiri Adly yang juga DUN Bukit Katil.
Robiah berkata, bukan senang rakyat biasa boleh menemui pemimpin kerajaan negeri berikutan tugas yang sibuk mentadbir negeri bersejarah itu.
“Gembira sangat-sangat dapat bertemu Tuan Adly, ramai yang singgah ke rumah menyampaikan bantuan, bersyukur tidak terkata,” katanya ketika dihubungi Melaka Kini.
Dia berkata, suaminya yang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengalami sakit jantung dan sepatutnya perlu menjalani pembedahan pintasan.
Bagaimanapun katanya, disebabkan faktor usia, doktor yang merawat menasihatkan agar pembedahan itu tidak dilakukan sebaliknya menjaga pemakanan.
“Doktor ada menasihatkan kepada pakcik (Ab Ghani) supaya berjalan 12 hingga 14 tapak sehari untuk senaman ringan kerana dia tidak mampu berjalan lama.
“Jadi, kerusi roda yang disumbangkan boleh memudahkan aktiviti seharian pakcik,” katanya.
Selain Ab Ghani, empat lagi kediaman penerima sumbangan turut dilawati sendiri Adly bersama beberapa agensi terlibat termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).