Tewaskan tujuh pencabar, Ashraf rangkul pingat perak

Tewaskan tujuh pencabar, Ashraf rangkul pingat perak

HASIL kerja yang telah siap bagi Kategori Bricklaying WSMB 2018.

BANDARAYA MELAKA 11 Okt. – Muhammad Ashraf Rohani@Zulkifli berjaya merangkul pingat perak bagi Kategori Bricklaying Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2018 di Mitec Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ashraf yang juga penuntut Politeknik Melaka (PMK), sekali gus menewaskan tujuh pencabar dari pelbagai institusi pada pertandingan itu.

Dengan mendapat markah tertinggi antara pencabar lain, ia melayakkan Ashraf memenangi pingat perak dan sijil serta wang tunai RM2,500.

Pelbagai cabaran dihadapi bagi melengkapkan projek dan tugasan ditetapkan, namun dengan bantuan tenaga pengajar, rakan-rakannya berjaya melakukannya.

Pelatihnya, A. Umavathy berkata, dalam Kategori Bricklaying tiada pemenang bagi pingat emas.

“Ashraf hanya kurang empat mata untuk melayakkan diri mendapat pingat emas, namun dia tetap bangga atas kejayaan yang dicapainya.

“Diharap Ashraf akan terpilih mewakili Malaysia ke ‘World Skill Competition’ yang akan diadakan di Kazan, Rusia tahun depan,” katanya.

Umavathy berkata demikian pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2018 di Mitec Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertandingan WSMB atau dahulu dikenali Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) merupakan pertandingan kemahiran yang diadakan setiap tahun.

Ia bagi bertujuan memilih dan mengiktiraf pelatih serta pekerja mahir yang mempunyai kemahiran unggul.

WSMB dijalankan dua peringkat iaitu peringkat pra-kelayakan dan akhir.

Lebih 1,000 peserta menyertainya, namun hanya 211 peserta layak ke peringkat akhir. Pada pertandingan itu, sebanyak 27 bidang dipertandingkan.

Hadir sama, Pengarah PMK, Abdul Aziz.

CATEGORIES