Tiada isu pusat tahfiz dihalau atau ditutup

Tiada isu pusat tahfiz dihalau atau ditutup

DURIAN TUNGGAL 22 Feb. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengambil keputusan untuk memindahkan Maahad Tahfiz Rabiatul Adawiyah yang beroperasi di Empangan Durian Tunggal sejak beberapa tahun lalu ke lokasi lebih strategik iaitu di Taman Rumahku Syurgaku (RKSK) di Bukit Katil.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pemindahan pusat tahfiz itu selaras dengan peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana kawasan empangan merupakan kawasan keselamatan penting yang mesti dipastikan selamat dari pencemaran.

Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri berkata, notis perpindahan sudah dikeluarkan beberapa tahun lalu, namun atas budi bicara Badan Kawal Selia Air (BKSA) pusat tahfiz itu dibenarkan beroperasi dalam kawasan larangan tersebut hingga sehingga awal 2019 ini.

“MAIM mengambil tindakan atas dasar tanggungjawab menjaga syiar Islam dan institusi tahfiz di negeri ini dengan mencari tempat yang lebih selamat dan selesa untuk dijadikan pusat pengajian bagi Maahad Tahfiz Rabiatul Adawiyah ini.

“Hasil perbincangan antara pihak maahad tahfiz dan beberapa pihak berkaitan, satu persetujuan dicapai untuk memindahkan Maahad Tahfiz Rabiatul Adawiyah ini ke RKSK kepunyaan MAIM,” katanya.

Menerusi kenyataannya di laman sosial Facebook, Mohd Sofi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal berkata, kawasan baharu yang menempatkan kesemua pelajar pusat pengajian terbabit memiliki kemudahan lebih selesa dan selamat.

“MAIM menyediakan sebanyak 20 rumah, surau dan balai raya untuk kegunaan maahad tahfiz ini bagi memberikan keselesaan kepada mereka. Kawasan ini yang redup, hijau dan jauh sedikit dari kesibukan kenderaan adalah amat sesuai dijadikan tempat pengajian.

“Dari lawatan saya semalam (kelmarin) saya rasakan bahawa pelajar gembira dan dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru ini. Mereka juga dilihat mengadakan kegiatan sukan dan permainan ‘outdoor’,” katanya.

Proses pemindahan maahad tahfiz itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Ketua Menteri Melaka dan sukarelawan Amal Relief (Arif).

CATEGORIES
TAGS