Tiada kapal dari Wuhan berlabuh di Kuala Linggi – Pengarah Kesihatan

Tiada kapal dari Wuhan berlabuh di Kuala Linggi – Pengarah Kesihatan

AYER KEROH 6 Feb. – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menafikan terdapat sebuah kapal bersama anak kapalnya dari Wuhan, China berlabuh di Kuala Linggi pada Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ismail Ali menegaskan bahawa status yang dimuat naik di laman sosial Facebook Geng Viral Melaka oleh seorang netizen adalah tidak tepat.

Beliau berkata, kapal berkenaan bersama anak kapalnya yang berlabuh itu bukanlah dari Wuhan seperti yang didakwa.

“Saringan kesihatan kepada anak kapal dari negara berisiko terutamanya China adalah rutin tetap bagi pencegahan dan kawalan kemasukan wabak Novel Coronavirus( 2019-nCoV).

“Langkah itu dilakukan di semua pintu masuk antarabangsa dalam negara malah penggunaan alat pelindungan diri oleh pasukan kesihatan bertugas juga bertujuan melindungi diri” katanya di dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular di media sosial status dimuat naik seorang individu menggunakan nama ‘Shahnol Sundara’ kononnya sebuah kapal dari Wuhan telah berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi secara senyap-senyap selepas tidak dibenarkan berlabuh di Singapura dan Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Dr. Ismail turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati- hati dan tidak menularkan sebarang berita yang tidak benar.

“Penularan berita tidak benar ini boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri serta mengelak dari mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya.

CATEGORIES