Tiada penyedut minuman plastik mulai Mei

AYER KEROH 20 Mac – Kerajaan negeri bakal melaksanakan larangan menggunakan penyedut minuman plastik berkuatkuasa selewat- lewatnya Mei depan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, usaha itu sebagai langkah awal menjaga alam sekitar di negeri ini.
Menurutnya, premis makan dan minum dinasihatkan supaya tidak membekalkan penyedut minuman tersebut kepada pelanggan.
“Pelanggan tidak akan diberikan penyedut minuman plastik melainkan mereka meminta dari premis tersebut.
“Bagaimanapun, pelanggan yang meminta penyedut minuman itu tidak akan dikenakan sebarang bayaran,” katanya.
Beliau berkata semasa sidang media pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke- 14 di Seri Negeri, hari ini.
Jelasnya, usaha itu bagaimanapun telah dilaksanakan negeri-negeri lain bulan lalu.
“Bagi premis yang tidak laksanakan usaha ini, mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang buat masa ini.
“Ia juga satu langkah mendidik masyarakat menjaga kebersihan dan alam sekitar di negeri ini,” katanya.