Tiada ruang ‘goyang kaki’ di SAMB FC

PENGENDALI SAMB FC, Hamdan Mohamad memberi amaran anak buahnya agar perlu bersedia berdepan latihan intensif, jika didapati tidak cergas.
Hamdan yang memiliki latar belakang sebagai jurulatih kecergasan berkata, tiada ihsan akan diberikan terhadap anak buahnya sepanjang musim bagi melahirkan pelapis berkualiti dan mencapai sasaran ditetapkan pengurusan.
“Mana-mana pemain ‘lemau’ akan diberi tugas tambahan, walaupun dia merupakan pemain utama atau simpanan.
“Saya bermula dari bawah sebagai jurulatih kecergasan, jadi perkara ini menjadi keutamaan saya sejak mengendalikan skuad Pahlawan Biru,” katanya kepada MelakaKini.
Hamdan berkata, walaupun ketika ini tiada lagi pemain yang dikenakan hukuman, namun perkara itu perlu diingatkan agar mereka tidak menganggap ia sebagai perkara remeh.
“Setakat ini tiada, namun saya tegaskan, semua pemain di SAMB FC adalah sama, tiada ruang bersenang-lenang di sini.
“Kita perlu kekalkan fokus sepanjang musim, kalau boleh capai takhta empat atau lima teratas, manakala menjulang Piala M3 adalah bonus,” katanya.