Tidak lagi bimbang roboh : Rumah Faridah berwajah baru

Tidak lagi bimbang roboh : Rumah Faridah berwajah baru

PENGKALAN RAMA 1 Feb. – Seorang warga emas melahirkan rasa syukur kerana tidak lagi berdepan rasa takut menetap di rumah yang usang.

Faridah Mohamad, 67, berkata, dia yang tinggal di situ sejak 30 tahun lalu tidak mampu membaik pulih rumahnya sendiri.

Menurutnya, kehadiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Durian Daun dan Pengkalan Rama Tengah mengusulkan kerja-kerja membaik pulih rumahnya merupakan perkara yang tidak pernah diduganya.

“Makcik bersyukur kerana diberikan perhatian sebegini.

“Jika dulu makcik sering rasa bimbang kerana rumah boleh roboh pada bila-bila masa, sekarang tidak lagi,” katanya yang
tinggal bersama cucunya di rumah itu.

Dia ditemui pada majlis penyerahan kunci rumah binaan CSR Japerun Duyong di Kampung Durian Daun Dalam, di sini.

Majlis penyampaian kunci disempurnakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li.

Hadir sama, Pengerusi MPKK Kampung Durian Daun Dalam dan Pengkalan Rama Tengah, Abd Aziz Bachik.

Sementara itu, Damian berkata, sejumlah RM14,000 diperuntukkan bagi membaik pulih rumah Faridah.

“Semasa melawat Faridah sebelum ini saya terkejut melihat keadaan rumahnya. Sebenarnya, ia mula rosak sejak 10 tahun
lalu, tetapi kerana tidak mampu, dia tidak boleh berbuat apa-apa.

“Ia tidak selamat diduduki dan sangat berbahaya kepada Faridah lebih-lebih lagi dia sudah uzur. Saya ambil pendekatan ini dengan harapan dia dapat hidup dalam keadaan lebih baik,” katanya.

Jelasnya, projek baik pulih rumah itu turut dibantu Ahli Majlis DUN Duyong.

“Kita buat kutipan sebelum mendapat peruntukan dari kerajaan negeri. Kita jalankan terus projek ini supaya tiada perkara lebih buruk berlaku kepada penghuni rumah ini,” katanya projek itu
bermula Disember tahun lalu dan siap sepenuhnya bulan lalu.

Rumah tersebut dilengkapi dua bilik tidur, dapur dan juga bilik air.

Pada majlis tersebut, Damian turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan dari pihak MPKK untuk Faridah.

CATEGORIES