Tiga lagi babi hutan mati ditembak

AYER KEROH 24 Feb. – Kerajaan negeri memandang serius masalah perosak tanaman, seperi babi hutan yang diterima daripada lebih 10 aduan rakyat setiap minggu.
EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hassan Baktee berkata, situasi itu bukan hanya menyebabkan pekebun mengalami kerosakan tananam hingga menyebabkan kerugian malah menjejaskan keselamatan penduduk.
Menurutnya, menyedari masalah itu pihaknya meneruskan operasi menembak habitat itu dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), penembak berlesen dan penduduk tempatan.
“Pada operasi kali ini yang bermula jam 1 hingga 4 pagi, ia membabitkan tiga kawasan iaitu di Sebatu, Padang Temu dan Seri Bendahara, hasilnya tiga ekor babi berjaya ditembak PERHILITAN.
“Operasi ini akan diteruskan lagi sebagai langkah pencegahan dari berlaku sesuatu perkara tidak diingini dalam kalangan penduduk seperti kemalangan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Noor Zakiah Hanum Mohd Noh berkata, selain operasi menembak pihaknya juga memasang perangkap sebagai usaha menangkap babi hutan namun bilangan perangkap agak terhad dan diletakkan dikawasan tertentu sahaja.
“Kita akan bersama kerajaan negeri untuk membendung masalah tersebut termasuk dengan menggunakan perangkap namun hanya boleh memuatkan seekor babi hutan dalam satu masa,” katanya.
Dianggarkan lebih 10 terlibat dalam operasi selama tiga jam yang diketuai Norhizam termasuk enam kakitangan PERHILITAN.