Tiga penyamun dibenar diikat jamin

Tiga penyamun dibenar diikat jamin

AYER KEROH 12 MAC – Tiga sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan melakukan samun berkawan dan bersenjata parang terhadap pasangan warga emas Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Shahirullnizam Mohd Shariff, 24, Mohamad Abdullah Mohamed Noah, 30, dan Sopian Othman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan samun berkawan bersenjatakan parang ke atas pasangan suami isteri, Goh Kim Lee, 77, dan Lim Lay Hong, 70, dengan merampas sebuah dompet serta beg tangan berisi barangan peribadi.

Tindakan itu dilakukan kesemua tertuduh kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya pada 6 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dan memohon syarat tambahan diberikan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Shahirullnizam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dikenakan.

Sementara, Mohamad Abdullah dan Sopian memberi alasan terpaksa menanggung keluarga masing-masing termasuk ibu mereka.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memerintahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan atau jaminan ditarik balik serta merta.

Beliau turut memerintahkan kesemua tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 April depan sebagai sebutan semula kes.

CATEGORIES
TAGS