Tilawah Al-Quran medan tinggikan syiar Islam

Tilawah Al-Quran medan tinggikan syiar Islam

BUKIT PALAH 18 Feb. – Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Melaka anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) merupakan medan meninggikan syiar Islam melalui pembudayaan al-Quran.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, menjadi tanggungjawab semua supaya majlis-majlis sebegini dihidupkan serta dimeriahkan dengan kehadiran semua, tanpa mengenal batas usia mahupun bangsa.

Ujarnya, al-Quran melalui ayat sucinya mengajak dan menyeru manusia untuk membaca, ini kerana membaca merupakan jambatan ilmu dan dengan memperolehi ilmu tersebut, manusia akan ditinggikan darjat serta martabatnya di sisi manusia lain.

“Dengan membaca al-Quran juga, manusia mampu menguasai dan menguruskan alam, menggunakan seluruh nikmat dikurniakan Allah bagi kesejahteraan hidup.

“Ilmu diperolehi menerusi pembacaan al-Quran juga menjadi batu asas dalam kehidupan manusia demi melahirkan umat yang berilmu dan berwawasan,” katanya.

Adly berkata demikian semasa berucap pada perasmian penutup dan penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Melaka 1440H/2019M di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, Sabtu lalu.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang Tilawah Al-Quran itu.

Turut hadir, isteri Adly, Dalilah Awaludin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Hadir sama, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Hazarudin Baharudin; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md. Azhan Samat serta ketua-ketua jabatan.

Adly berkata, lestabilan serta keharmonian sesebuah negara bergantung kepada kesedaran rakyat dalam memelihara dan menjaga kerukunan hidup berharmoni dan bernegara.

“Walaupun kita berpegang kepada amalan demokrasi, ini tidak bermakna kita bebas melakukan apa saja tindakan tanpa mempedulikan kesan kepada anggota masyarakat yang lain.

“Hakikatnya, kebebasan dalam menyuarakan pendapat dan pandangan perlu dipandu dengan jelas supaya pandangan dikeluarkan tidak diterjemahkan secara salah oleh masyarakat lain.

“Ini kerana keutamaan untuk menjaga keharmonian tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas dalam maqasid syariah yang dilihat sebagai asas penting mengekalkan perpaduan,” jelas Adly.

Pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Melaka 1440H/2019M, peserta yang mewakili Daerah Melaka Tengah, Mohd Khairi dan Dr. Siti Syahirah, dinobat juara, sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000, sijil serta hadiah iringan disampaikan Mohd Khalil.

CATEGORIES
TAGS