Tingkat integriti pelajar : SPRM & JPNM jalin kolaborasi

BUKIT BARU 24 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) akan berkolaborasi menjayakan program integriti dalam kalangan pelajar sekolah.
Persetujuan bagi menjayakan program itu dicapai selepas Pengarah SPRM Melaka, Awangkok Ahmad Taufik Putra mengadakan pertemuan bersama Pengarah JPN, Datuk Abu Bakar Sahari di JPN, semalam.
Usaha itu selari dengan fokus SPRM Melaka yang memberi tumpuan kepada pendidikan bermula seawal pendidikan rendah hingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk universiti awam dan swasta.
Program Wira Anti Rasuah yang telah dan sedang dilaksanakan SPRM Melaka di beberapa buah sekolah juga akan diperluaskan dari semasa ke semasa.
Kementerian Pendidikan juga telah memasukkan modul berkaitan kesalahan perlakuan rasuah dalam buku Pendidikan Islam Tahun 6 dan pendidikan moral untuk pelajar Tingkatan 1&2 di peringkat menengah bagi menambah maklumat berkaitan rasuah pelajar.
SPRM Melaka juga telah menubuhkan Angkatan Ikatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) di sembilan IPT awam dan swasta bagi meningkatkan kesedaran pelajar berkaitan amalan rasuah.
Penubuhan AMAR itu turut melibatkan Institut Pengajian MARA (IPMA) selain memberi fokus program pencegahan rasuah kepada masyarakat dari semasa ke semasa agar mereka membenci perbuatan rasuah secara keseluruhannya.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Pengarah JPNM, Mohd Rashid Sidek; Timbalan Pengarah (Pencegahan), Ahmad Faizal Abd. Rashid; Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Melaka, Mohd Sufian Mohd Khalis dan Penolong Penguasa SPRM, Mohd Hairul Helmi Hasim.