Tingkat tahap kebersihan – Chee Leong : Kes denggi di Melaka meningkat

AYER KEROH 31 Jan. – Sebanyak 163 kes denggi dicatatkan meningkat sebanyak 181.03 peratus secara kumulatif berbanding tempoh sama tahun lalu di negeri ini.
Daerah Melaka Tengah mencatatkan 133 kes (meningkat 216.7%), Alor Gajah 17 kes (meningkat 88.9%) dan Daerah Jasin 13 kes (meningkat 85.71%).
Justeru, Exco Kesihatan & Anti Dadah, Low Chee Leong menasihatkan orang ramai meningkatkan tahap kebersihan di sekitar kawasan perumahan dan tempat kerja bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes.
Katanya, bermula 1 hingga 28 Januari lalu, kes denggi di seluruh Negeri Melaka dicatatkan sebanyak 163 kes.
Menurutnya, terdapat 11 kes baru telah didaftarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri pada 28 Januari lalu.
Ujarnya, pendaftaran itu melibatkan Kampung Batu Hampar, Taman Paya Dalam, Jalan Murni Taman Malim Jaya, Desa Taming Sari, Kampung Permatang Duyong dan Taman Bachang Baru.
Diikuti Taman Penghulu Jabbar dan Pangsapuri Taman Tasik Utama di mana kawasan terbabit berada dalam Daerah Melaka Tengah, manakala Daerah Alor Gajah membabitkan Taman Mewah.
Beliau berkata, terdapat tiga wabak baharu telah dilaporkan iaitu di Taman Bachang Baru, Taman Paya Dalam dan Kampung Batu Hampar.
“Secara kumulatif, terdapat 10 lokaliti wabak aktif di Melaka Tengah iaitu di Jalan Emas Taman Kerjasama, Flat Seri Temenggung, Taman Saujana, Desa Taming Sari dan Desa Tun Razak.
“Lokaliti lain adalah di Taman tasik Utama, Taman Bachang Baru, Taman Paya Dalam dan Kampung Batu Hampar, sementara daerah Alor Gajah adalah di Taman Rumbia Jaya,” katanya.
Rentetan itu, orang ramai diminta meningkatkan tahap kesihatan dan menjaga kebersihan selain memastikan tiada takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan jentik-jentik.