Tulang binatang, lampin bayi antara yang dibuang

Tulang binatang, lampin bayi antara yang dibuang

DURIAN TUNGGAL 6 Mac – Pembuangan sampah di merata tempat di kawasan tebing sungai Gangsa dalam kawasan Kampung Belimbing Dalam di sini, dilihat semakin membimbangkan.

Sampah sarap yang dibuang termasuk tulang-tulang binatang, bekas makanan ringan, lampin bayi pakai buang, plastik, botol, kotak dan sebagainya ‘menjijikkan’ mata yang memandang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, beliau menerima beberapa aduan awam sebelum ini berkenaan perkara tersebut.

“Jika dilihat sampah yang dibuang di situ, dikhuatiri datang dari kampung berdekatan dan saya harap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kampung Belimbing Dalam dapat memantau aktiviti tidak sihat ini.

“Penduduk kampung juga diharap agar lebih sensitif dengan gejala pembuangan sampah seperti ini dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku apa-apa aktiviti yang dilihat menyalahi undang-undang,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, tadi.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam menegaskan, gejala tidak sihat itu boleh mengotorkan kampung, persekitaran, sungai boleh tercemar dan kemungkinan wabak penyakit boleh tersebar.

“Saya menyeru kepada orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata kerana ini melambangkan tahap kesedaran kita kepada kebersihan adalah rendah.

“Gejala seperti ini bukan sahaja melambangkan tahap kesedaran sivik yang rendah malah ia mencemarkan nama baik kampung dan negeri kita,” katanya.

CATEGORIES
TAGS