UiTM Melaka jalin MoU dengan enam institusi pelancongan Indonesia

UiTM Melaka jalin MoU dengan enam institusi pelancongan Indonesia

AYER KEROH 26 Feb. – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama enam wakil Institusi Pariwisata Republik Indonesia di Jakarta.

Inisiatif oleh Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri bersama Fakulti Pelancongan dan Perhotelan UiTM Cawangan Melaka ini akan memfokuskan kepada penubuhan pusat penyelidikan yang berkaitan dengan bidang pelancongan dengan mengambil kira negeri Melaka sebagai negeri fokus pelancongan.

Rektor UiTM Melaka, Profesor Dr Abd Halim Md Noor berkata, MoU berkenaan adalah salah satu usaha penubuhan Melaka- Indonesia Tourism Research Center (MITReC).

Katanya, wakil institusi itu membabitkan Bali Tourism Polytechnic, Sekolah Tinggi Parawisata Bandung, Makassar Tourism Polytechnic, Palembang Tourism Polytechnic, Lombok Tourism Polytechnic dan Medan Tourism Polytechnic yang berlangsung di Kementerian Parawisata dan Ekonomi Kreatif, Indonesia.

Katanya, sesi menandatangani MoU itu membabitkan Pengarah-pengarah Tourism Polytechnic dan Sekolah Tinggi Parawisata disaksikan Kepala Pengembangan Pusat Pendidikan dan Latihan (Pusdeklat) Sumber Daya Manusia, Kementerian Parawisana dan Ekonomi Kreatif Dr. Anggara Hayun Anujuprana.

“Kesemua STP dan Politeknik berkenaan juga institut pengajian yang menawarkan program pengajian pengurusan pelancongan kepada masyarakat disekitarnya bagi membangunkan ekonomi negara menerusi industri pelancongan.

“Antara kerjasama serantau yang akan dijalankan adalah aktiviti penyelidikan, perundingan dan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi,” katanya.

Abd Halim berkata, program berkenaan juga sekali gus mampu untuk meransang perkembangan pembangunan dan pelancongan negeri Melaka yang terkenal dengan lokasi pelancongan terkemuka di dunia.

Menurutnya, ia juga membabitkan pertukaran pensyarah dan pelajar yang bakal dilaksanakan bagi menyokong kepada kejayaan program berkenaan.

Hadir sama dalam sesi menandatangani MoU adalah Profesor Dr Shafinar Ismail, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Puan Aziean Jamin, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Hotel dan Pelancongan UiTM Cawangan Melaka bersama pensyarah-pensyarah yang akan terlibat dalam menggerakkan inisiatif ini.

CATEGORIES