Ummah rapatkan saf, kenang jasa ulama – Adly

Ummah rapatkan saf, kenang jasa ulama – Adly

DUYONG 18 Mac – Umat Islam wajar memperkasakan ajaran Islam dan dinasihat untuk menyelusuri sejarah para ulama yang berjuang mengekalkan syiar Islam di Melaka, walaupun dijajah beratus tahun.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, negeri bersejarah ini yang terkenal sebagai empayar penyebaran Islam suatu ketika dahulu pernah dijajah beberapa kali, namun ajaran Islam yang dipraktikkan ratusan tahun dahulu masih kekal hingga hari ini.

Katanya, ummah juga wajar merapatkan saf sebagai tanda menhormati perjuangan para ulama.

“Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, namun para ulama nekad mempertahankan ajaran dan akidah umat Islam ketika itu hingga ia dapat dinikmati hingga sekarang.

“Berbanding Cordoba yang dijajah Sepanyol, berbeza hanya beberapa belas tahun, namun syiar Islam di sana padam sepenuhnya, yang tinggal hanyalah istana (Istana Alhambra).

“Di Melaka kita hilang istana (kesultanan Melayu Melaka), tetapi syiarnya kekal hingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tabligh Maulid Akbar Duyong Berselawat di Perkampungan Hang Tuah di sini, malam tadi.

Hadir sama, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Terdahulu, Adly yang hadir kira-kira jam 7 malam turut solat jemaah Maghrib bersama peserta yang hadir.

CATEGORIES
TAGS