Umpan anak udang tangkap Udang Galah

DURIAN TUNGGAL 12 Mac- “Menjala anak udang untuk menangkap udang galah”.
Itulah antara aktiviti yang dilakukan oleh Aziz Mustari,50 dan Johari Kamarudin, 46 ketika mempunyai masa senggang sekaligus dapat memberi kepuasan kepada kedua pemancing tersebut dengan masa yang dihabiskan lebih dari lima jam sehari di beberapa sungai sekitar Melaka.
Bagi dua sahabat tersebut yang turut berkongsi tips dan cara-cara menangkap udang galah itu turut menyatakan aktiviti seumpama itu merupakan minat mereka sebelum bekeluarga lagi.
Bagi Aziz yang turut berkongsi antara amalan dan tips mengenai anak udang tersebut melihat aktiviti menangkap anak udang itu sebagai hobi mengisi masa lapang bersama rakan baiknya.
“Anak udang ini lepas kita tangkap, kita akan simpan dalam peti ais dan ianya boleh bertahan sehingga sebulan, dan hanya perlu tambah gula untuk anak udang ini bertahan lebih lama lagi.
“Anak udang ini kita akan gunakan sebagai umpan untuk menangkap udang galah di Sungai Muar, Johor nanti, kebiasaannya, aktiviti tangkap udang galah ada musimnya,” katanya ketika ditemui pemberita MelakaKini di Sungai Gangsa, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, bagi Johari, persediaan menangkap udang galah adalah dari penyediaan umpan dan perlu melihat kepada keadaan air.
Katanya, udang galah akan memakan umpan kebiasaannya dalam keadaan air yang keruh bukan air jernih kerana dalam keadaan air jernih umpan tersebut selalunya dimakan oleh anak ikan seluang dan bukan udang galah.
“Kebiasaanya, udang galah ini dapat ditangkap ketika air pasang kecil, ini kerana ketika air pasang besar, arus air itu laju sukar untuk udang galah makan umpan.
“Cara menangkap udang galah ini juga bukan seperti memancing ikan, kebiasaanya dalam 15 minit ke 30 minit tiada umpan terkena, kita akan pindah tempat lain untuk cuba nasib tangkap udang galah ini, ia bergantung kepada rezeki juga,” katanya.
Tambahnya, terdapat juga pemancing yang hanya pulang dengan tangan kosong walaupun menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menangkap udang galah.