Usah perkecil kemampuan OKU – Mas Ermieyati

Setiap insan ada kelebihan masing-masing

Usah perkecil kemampuan OKU – Mas Ermieyati

DIN AHMAD

KUALA SUNGAI BARU 5 Feb. – Usah perkecilkan bakat dan kemampuan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mereka tetap memiliki kelebihan tersendiri.

Sebaliknya, anggota komuniti yang normal harus membantu mereka dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan kemampuan mental dan fizikal untuk menghasilkan sesuatu yang menarik dan membanggakan.

Aspek berkenaan ditekankan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin ketika berucap merasmikan Pertandingan Dekorasi Kek Pelatih PPDK Daerah Alor Gajah di Dewan Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.

Pertandingan itu disertai 70 pelatih PPDK dari seluruh daerah Alor Gajah. Turut hadir, Penyelaras DUN Kuala Linggi, Amran Othman.

Dalam pertandingan itu peserta diberi peluang menghias kek dengan pelbagai cara untuk menjadikannya bertambah seri dan menarik.

Mas Ermieyati berkata, dengan menyertai pertandingan itu, semangat berpasukan mampu disemai dalam jiwa pelatih PPDK, sekali gus menjadikan perpaduan mereka semakin kukuh.

Selain melatih minda bertambah cerdas, ia juga memberi peluang untuk pelatih terbabit bertindak pantas dalam mengadun pelbagai perhiasan untuk menempa kejayaan dalam pertandingan.

“Pertandingan dekorasi kek ini mampu menyemai sikap dan nilai kerjasama dalam kalangan mereka, selain mampu menyesuaikan diri di dalam apa juga situasi pada masa akan datang.

“Aktiviti ini juga melahirkan pelatih yang berupaya mengeluarkan idea bernas bukan setakat dalam hal untuk mencantikkan kek, malah dalam perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan mereka,” katanya.

Pertandingan itu dimenangi PPDK Seri Penyayang dari Alor Gajah manakala naib johan ialah PPDK Seri Pengasih dan tempat ketiga PPDK Seri Penawar.

CATEGORIES