Usahakan tanah terbiar di Melaka – LPP

Usahakan tanah terbiar di Melaka – LPP

AYER KEROH 7 Mac – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berminat untuk membangunkan tanah terbiar di negeri dengan menjalankan pelbagai projek pertanian di tanah tersebut.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, usaha tersebut termasuk memohon pengiktirafan Tanah Adat Melaka (MCL) di dua lokasi di daerah Masjid Tanah dan Alor Gajah yang mana masing-masing berkeluasan 14 hektar .

Menurutnya, walaupun Melaka bukan negeri yang besar, tetapi beliau yakin masih terdapat tanah terbiar yang boleh diusahakan.

“Inisiatif tersebut sekali gus membantu menjana pendapatan menerusi penerokaan projek pertanian seperti tanaman fertigasi yang hanya mengambil masa tiga atau empat bulan bagi mengeluarkan hasil.

“LPP juga berminat untuk menanam buah markisa di negeri ini bagi memenuhi permintaan pengeluaran jus minuman ini yang dikomersialkan pertubuhan ini.

“Selain itu, tanaman baharu seperti nanas MD2 dan kelapa pandan turut mempunyai permintaan tinggi di pasaran boleh ditanam dan ini dilihat sebagai medium menyahut seruan kerajaan negeri untuk memperkasakan pertanian pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Adly Zahari di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah LPP negeri, Zabelah Mad Lelah.

Mazlan berkata, LPP menyasarkan penambahan 10 projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tahun ini selepas kejayaan pembangunan di 279 PPK di seluruh negara.

“Kita mahu PPK Kuala Langat menjadi projek contoh kepada peladang lain untuk meneroka konsep pertanian moden,” katanya.

Sementara itu, Norhizam berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan LPP untuk memperluaskan projek tanaman fertigasi.

“Kita sangat bersetuju dan yakin dengan teknologi Internet of Things (IoT) yang dijangka mampu memberi pendapatan lumayan kepada peserta.

“Walaupun kaedah ini menelan kos tinggi tetapi keuntungan yang bakal dihasilkan adalah lebih baik dan kita mahu peladang menerima keuntungan semaksimun mungkin,” katanya.

CATEGORIES
TAGS