Usahawan harus rebut peluang disediakan kerajaan

Usahawan harus rebut peluang disediakan kerajaan

AYER KEROH 8 Mac – Usahawan di negeri ini disaran merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan negeri dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka dalam memastikan masa hadapan usahawan di sini, terjamin.

Menurutnya, usahawan bukan sahaja mampu menerima pendapatan dan keuntungan maksimum, sebaliknya dapat bersaing dengan syarikat lebih besar.

“Sehubungan itu, setiap aduan dan cadangan disampaikan usahawan terlibat akan diberikan perhatian untuk mendapatkan solusi terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Sesi Dialog dan Ramah Mesra bersama Usahawan Negeri Melaka 2019 di MITC, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hub Sdn. Bhd. , Md. Zaini Zainal ; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Ir. Ridhuan Affandi Abu Bakar dan Ketua Eksekutif MITC, Abdul Wahab Ibrahim.

Jelas Norhizam, antara inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu usahawan ini termasuk menyediakan pembiayaan geran, seminar, pinjaman dan lain-lain lagi.

“Bagaimanapun, mereka perlulah kreatif, aktif dan berdikari untuk menyahut cabaran dalam dunia serba moden kini.

“Saya yakin dengan aturan strategi yang mantap dan mampan, mereka boleh berjaya dengan cemerlang,” katanya.

Mengulas mengenai sesi dialog itu, Norhizam berkata, ia merupakan medium terbaik untuk memberikan ruang kepada usahawan terlibat berkongsi pandangan, idea atau masalah mereka dengan pihak lebih tinggi.

“Bertepatan dengan objektif kerajaan untuk mendengar masalah dihadapi rakyat, diharapkan program ini dapat merapatkan jurang antara pihak berkaitan khususnya dalam kalangan masyarakat dan pemimpin,” katanya.

Program anjuran Melaka Halal Hub Sdn. Bhd. itu melibatkan 150 usahawan dan agensi berkaitan dalam negeri Melaka.

https://t.me/melakakinidotmy

CATEGORIES
TAGS