Usahawan TEKUN mampu terokai pasaran makanan halal antarabangsa

Usahawan TEKUN mampu terokai pasaran makanan halal antarabangsa

Oleh: DIN AHMAD

MASJID TANAH 17 Feb. – Tiada sebab usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) tidak mampu menembusi pasaran makanan halal antarabangsa kerana sudah terbukti ada usahawan berjaya melakukannya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menjelaskan, mereka harus mencontohi kejayaan seorang usahawan TEKUN yang berjaya memasarkan produk berkenaan di 800 rangkaian pasar raya di Jepun.

“Ada usahawan yang menghasilkan produk itu sudah bertapak di 800 rangkaian pasar raya di Jepun dan ia bukan satu yang mudah kerana Jepun terkenal sebagai negara maju yang amat mementingkan aspek kebersihan dan kualiti produk, termasuk bahan makanan.

“Selain itu, ada usahawan TEKUN berjaya membentuk kerjasama dengan syarikat pengeluar cendawan di Kedah dan memperoleh pulangan RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan TEKUN di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini kelmarin.

Karnival sehari itu disertai kira-kira 100 usahawan TEKUN yang kebanyakannya terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama dalam sektor pembuatan makanan halal.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan meminta pegawai TEKUN Nasional dan agensi lain berkaitan pembangunan usahawan mencuba menyelesaikan masalah usahawan terbabit bagi memastikan mereka mampu mengembangkan sayap pada masa depan.

Mohd Redzuan berkata, hasil daripada penelitiannya terhadap usahawan yang menyertai karnival itu, tidak kurang daripada 100 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan sama ada yang membabitkan usahawan itu sendiri mahu pun mereka yang membantu.

Katanya, sejajar dengan pelancaran program Tunas Usahawan Belia Desa baru-baru ini, kementerian itu ingin melihat lebih ramai generasi muda luar bandar, terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memulakan perniagaan.

Beliau berkata, ia hampir sama dengan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang bukan setakat berjaya di pasaran tempatan, malah antarabangsa.

Untuk tujuan itu, beliau meminta pegawai pelbagai agensi di bawah kementerian itu mempergiat usaha memberi kefahaman kepada belia mengenai peluang perniagaan yang terbuka luas untuk mereka asalkan mereka mempunyai semangat untuk maju.

Usahawan produk biskut, Rosmawati Kassim, 48, berkata beliau bertuah menyertai karnival berkenaan kerana berjaya mendapatkan tempahan daripada beberapa pelanggan yang bersedia membeli produk berkenaan secara pukal untuk dipasarkan menjelang Aidilfitri Mei depan.

“Alhamdulillah, ada beberapa pelanggan sudah membuat tempahan selepas menikmati kelazatan biskut samperit dan tart nanas yang saya hasilkan dan insyaAllah kami akan buat perjanjian jual beli untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, produk berkenaan sudah dihasilkannya sejak lima tahun lalu dan berjaya menembusi pasaran di beberapa pasar raya di negeri ini dan Negeri Sembilan.

Jasnita Ahmad, 53, yang menghasilkan sambal goreng berkata, karnival berkenaan memberi peluang kepadanya mendapatkan beberapa pelanggan yang berminat untuk membantu memasarkan produk berkenaan dengan kadar komisen munasabah.

Katanya, kebanyakan pelanggan berkenaan adalah dari Lembah Kelang dan Selangor yang mempunyai kemahiran memasarkan produk seumpama itu di premis kerajaan dan swasta.

CATEGORIES