Usia masih rendah tetapi semangat setinggi Gunung Tahan

Kecil-kecil cili padi

Usia masih rendah tetapi semangat setinggi Gunung Tahan

 

MASJID TANAH 24 Feb. – Usia mereka masih rendah tetapi semangat mereka setinggi Gunung Tahan yang puncaknya mencecah ketinggian 2,187 meter.


Meskpiun baru berusia 12 tahun, dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Laksamana di sini tidak mahu ketinggalan daripada menempuh pelbagai rintangan semata-mata untuk menawan puncak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter.

Iman Naufal Mohamad dan Mohd Rayyan Mohd Azam bertekad mengetepikan kesukaran ditemani nyamuk dan pacat untuk bersama-sama 38 lagi pelajar sekolah menengah dan guru untuk menawan puncak gunung berkenaan, mulai esok.

Iman Naufal berkata, pengalaman mendaki bukit dan gunung di negeri ini dan Negeri Sembilan bersama bapanya akan digunakan untuk menempuhi cabaran itu manakala Mohd Rayyan juga bakal mengaplikasikan pengalaman yang sama dalam misi berkenaan.

“Insya-Allah hasil daripada pengalaman mendaki bukit dan gunung sebelum ini, saya yakin mampu bersama peserta lain untuk menawan puncak Gunung Tahan,” katanya ketika ditemui pada program pelepasan Peserta Ekspedisi Gunung Tahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi (SMKHK), di sini hari ini.

Ia disempurnakan Presiden Aktive Malaysia, Sharifah Azuani Syed Mohd Ali yang aktif menganjurkan program seumpama itu di Puchong, Selangor.

Hadir sama, Pengetua SMKHK, Noridah Abdul Rahim dan guru pengelola program itu, Syed Aliwi Al Qudri.

Seramai 40 peserta dari enam sekolah menengah dan dua SK berserta guru bertolak ke gunung berkenaan hari ini dan dijangka menamatkan misi Jumaat ini.

Mohd Rayyan berkata, pengalaman berada dalam hutan ketika mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan mengajarnya mengenai peri penting memiliki semangat yang tinggi dan mental yang benar-benar kukuh untuk menempuh dugaan pendakian.

“Sudah pastilah kami akan tidur dalam khemah dan ia tidak selesa seperti kita tidur atas katil di rumah tetapi itulah keseronokan yang tidak boleh diceritakan,” katanya.

Sharifah Azuani berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersedia membantu mana-mana organisasi yang ingin mengadakan aktiviti riadah seperti ekspedisi mendaki gunung, berenang di perairan pulau menarik dan seumpamanya.

“Kami tidak memberikan beras, minyak masak dan lain-lain seperti yang biasa dibuat oleh NGO lain bagi membantu golongan kurang mampu, sebaliknya kami lebih gemar memberikan pancing kepada mereka untuk menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun baru berusia setahun jagung, keahlian NGO itu sudah mencapai tahap membanggakan dan aktif menjalankan pelbagai program untuk membantu melahirkan anggota komuniti yang sihat dari aspek mental dan fizikal.

CATEGORIES