UTeM bangunkan ADMS perangi pembiakan nyamuk Aedes
Menerusi ADMS, ia berupaya menjatuhkan abate (serbuk pemusnah Aedes) ke dalam lokasi yang sukar dicapai

AYER KEROH 4 Feb. – Universiti Teknikal Melaka (UTeM) terus mengukuhkan nama dalam pembangunan produk inovasi dengan menghasilkan Sistem Pemantauan Denggi Udara (ADMS).
ADMS yang beroperasi menggunakan teknologi hijau dan mesra pengguna dibangunkan bagi memudahkan operasi penghapusan kawasan pembiakan nyamuk Aedes.
Menurut Naib Canselor UTeM, Datuk Wira Raha Abdul Rahim, ADMS bertindak yang bertindak sebagai sistem pemantau, memudahkan operasi membasmi lokasi pembiakan penyakit berkenaan dengan kos, logistik dan masa yang lebih efektif.
“Alat ini mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk Aedes, berdasarkan peta 3D bersolusi tinggi,” katanya kepada Melaka Kini.
Sementara itu, Tenaga pengajar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) UTeM, Prof Madya Dr Asmala Ahmad berkata, idea itu tercetus, susulan peningkatan kes denggi.
Jelasnya, bagi membasmi Aedes, dari segi operasi pihak berkaitan menerusi anggota pasukan bertugas, ataupun orang awam secara lazimnya akan memasukkan serbuk abate ke dalam takungan air.
“Bagaimanapun, permasalahan atau halangan masih lagi berlaku kerana bukan semua takungan air yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes boleh dicapai manusia disebabkan faktor ketinggian dan ketidakmampuan capaian.
“Justeru menerusi ADMS, ia berupaya menjatuhkan abate ke dalam struktur yang menakung air atau berpotensi menakung air, termasuk kawasan berstruktur di atas bumbung rumah yang menakung air, kawasan rumah tidak berpenghuni yang berpagar dan berkunci dan kawasan pembinaan yang berpagar,” katanya.
Beliau menjelaskan produk inovasi ADMS digunakan mampu menghasilkan peta 3D atau orthophoto beresolusi tinggi, yang boleh digunakan untuk menghasilkan model elevasi digital (digital elevation model) dengan garisan kontur elevasi yang terperinci.
Sekali gus memberikan maklumat tempat berpotensi tinggi bagi pembiakan jentik-jentik Aedes.
Menurut Dr. Asmala, daripada peta ini, radius 200 meter mengelilingi kawasan denggi yang dikenalpasti akan dianggap sebagai tempat paling berpotensi pembiakan nyamuk itu.
Jelasnya, dan di dalam kawasan tersebut, struktur yang cenderung menjadi tempat pembiakan jentik-jentik aedes paling sesuai akan dianalisa lebih lanjut.
“Sasaran yang telah dipastikan paling berpotensi akan diperincikan kedudukannya dari segi lokasi mengufuk (x, y) dan lokasi menegak (z) seterusnya abate yang dibungkus di dalam bunjut kain akan digantungkan pada alat pelepas ADMS menggunakan tali yang sesuai.
“ADMS kemudiannya dinavigasikan ke sasaran x,y,z yang telah dikenalpasti dan apabila ADMS tiba di sasaran x,y,z yang berkenaan, kamera video pada ADMS digunakan untuk memastikan sasaran berada betu-betul di bawah abate yang tergantung dengan mengambilkira keadaan laju dan arah angin sewaktu abate hendak dilepaskan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, menggunakan fungsi yang ada pada smartphone atau ‘controller’, abate akan dilepaskan dengan berhati-hati dengan pemantauan dari kamera video pada ADMS.
“Ia digunakan untuk memastikan abate telah jatuh tepat dan mengenai sasaran x,y,z yang berkenaan”, ujar beliau mengakhiri temubual.
AMDS mula dibangunkan bermula daripada tahun 2016 yang mana projek ini dihasilkan bersama dengan seorang pelajar Doktor Falsafah di FTMK, Mohd Yazid Abu Sari.
Pembangunan platform sistem remote sensing peribadi atau personal remote sensing system (PRSS) telah siap pada tahun 2016 dan pada tahun 2017.
Sistem ini ditambahbaik dengan sistem navigasi automatik dan pengesanan kedudukan (tracking).
Penambahbaikkan dilakukan sekali lagi pada tahun 2018 dengan sistem kamera dengan resolusi dan keupayaan spektral yang lebih tinggi dan pada tahun 2019, sistem ini telah dilengkapi dengan alat pelepas abate (bahan pemusnah larva nyamuk aedes) dan telah mula digunakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).