UTeM laksana ‘Mobile Voting’

UTeM laksana ‘Mobile Voting’

KEMERIAHAN dirasai sewaktu pengumuman calon yang menang pada PRK.

DURIAN TUNGGAL 8 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalankan Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 2018/2019 di 11 pusat membuang undi, baru-baru ini.

PRK itu diadakan melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang bertujuan melantik barisan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baharu sesi 2018/2019.

PRK 2018/2019 UTeM kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila kesemua urusan pengendalian PRK itu diuruskan sepenuhnya oleh mantan ahli-ahli MPP sesi 2017/2018 di bawah pemantauan pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM.

Naib Canselor UTeM, Datuk Dr, Shahrin Sahib ketika ditemui selepas pengumuman calon yang memenangi PRK UTeM 2018/2019 berkata, penglibatan mantan-mantan MPP itu selaras hasrat Menteri Pendidikan Malaysia.

Katanya, ia bagi memperkasakan fungsi persatuan pelajar sebagai ‘Student Union’ yang aktif dikebanyakan universiti luar negara dalam merancang dan melaksana aktiviti oleh pelajar.

Ujarnya, uniknya tahun ini pertama kali UTeM mewujudkan kaedah pengundian terbaharu iaitu menerusi ‘Mobile Voting’.

Para pelajar di luar kawasan kampus seperti sedang mengikuti latihan industri atau pelajar Sarjana yang tidak terlibat secara langsung dalam kampus boleh mengundi menerusi peranti mudah alih mereka tanpa perlu hadir ke kampus.

“Justeru itu, berlakunya lonjakan jumlah pengundian kali ini iaitu sebanyak 79.99% atau 10,738 pelajar telah membuang undi pada hari tersebut.

“Ia merupakan peratusan tertinggi berbanding tahun lepas di mana hanya 70.39% pelajar yang mengundi,” katanya.

Menurutnya, peratusan pelajar mengundi menerusi aplikasi Mobile Voting juga memberansangkan untuk kali pertama apabila seramai 406 orang telah menjalankan kewajipan mereka berbanding 1,179 pelajar.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor HEP, Prof. Dr. Ridzuan Nordin berkata, sebanyak 11 pusat membuang undi telah diwujudkan.

Katanya, sebanyak lima pusat pengundian diadakan di Kampus Induknya di sini, lima di Kampus Teknologi Ayer Keroh dan satu di Kampus Bandar Melaka, Jalan Hang Tuah.

Sementara itu, Siti Nur Huda Md. Yusof merupakan calon paling banyak menerima undi dengan 5,731 undian diikuti lapan lagi rakannya bagi kawasan umum.

Manakala Fadhlur Rahim Azmi pula diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi ‘Post Graduate’ apabila hanya satu nama dicalonkan pada sesi pencalonan yang berlangsung pada 27 September lalu.

Sebanyak tujuh penjuru juga menghadapi saingan sengit dicatatkan buat kali pertama di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Ianya apabila calon harapan, Muhamad Khair Kamaruzaman telah mendapat undian tertinggi iaitu 821 undian.

Hasil dari PRK UTeM 2018/2019 itu, kini telah ada senarai calon yang menjadi ahli MPP bagi sesi 2018/2019.

Kesemua mereka inilah sebagai wakil para siswa/siswi di universiti serta menjadi suara pelajar di sini.

CATEGORIES