UTeM-MTSFB tingkat kepakaran teknologi fiber optik

Diharap semakin ramai graduan yang mahir dalam bidang fiber optik dapat dilahirkan

UTeM-MTSFB tingkat kepakaran teknologi fiber optik

DURIAN TUNGGAL 10 Feb – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) menandatangani Surat Niat (LoI) bagi kerjasama strategik bersama Malaysian Technical Standard Forum Berhad (MTSFB), baru-baru ini.

Dekan FKEKK, Prof Dr. Mohd Shakir Md. Saat berkata, kerjasama strategik itu bertujuan melahirkan graduan UTeM yang berdaya saing dan memiliki nilai tambah dalam bidang fiber optik dengan standard yang digunakan industri di Malaysia.

“Antara pengisiannya seperti Kursus Pensijilan Profesional Fiber Optic (Fiber Optic Technology Competency Certification Preparatory Course) yang ditawarkan kepada pelajar tahun akhir pada cuti pertengahan semester kedua.

“Untuk memastikan kursus pensijilan ditawarkan diiktiraf industri, kandungan kursus perlulah menggunakan standard yang diterima semua vendor atau penyedia sistem telekomunikasi yang ada di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM komited dalam merancakkan pembangunan akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduannya.

“Kerjasama strategik ini juga memberi nilai tambah kepada sijil yang bakal diperoleh golongan mahasiswa terlibat.

“MTFSB merupakan badan piawaian dalam bidang teknikal, telekomunikasi dan multimedia yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan SIRIM membangunkan standard teknikal dalam pelbagai bidang dan modul,” katanya.

Majlis tersebut menyaksikan Mohd Shakir menandatangani LoI bersama Pengerusi Lembaga Pengarah MTSFB, Datuk Ismail Osman.

CATEGORIES