UTeM selami strategi penulisan jurnal & pengendalian geran penyelidikan

DURIAN TUNGGAL 24 Jan. – Aktif dalam pembangunan penyelidikan dan inovasi, warga penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan strategi pengendalian geran penyelidikan dan penulisan jurnal secara efekif.
Justeru itu, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM menganjurkan seminar Strategi Pemantapan Penyelidikan dan Penerbitan Berimpak Tinggi.
Ianya bagi memberi pendedahan kepada pelajar serta kakitangan UTeM mengenai strategi dalam pengendalian geran penyelidikan kebangsaan dan antarabangsa.
Seminar selama dua hari di Dewan Seminar FKEKK Kampus Induk UTeM itu mendapat perkongsian oleh Prof. Ulung Datuk Dr. Harith Ahmad dari Universiti Malaya (UM) menerusi tiga sesi perkongsian utama.
Sementara itu, Dekan FKEKK, Prof. Madya Dr. Mohd Shakir Md. Saat berkata, seminar itu memberi panduan kepada kakitangan dan pelajar UTeM strategi meningkatkan H-index dan sitasi.
“Di samping itu, ia membantu dalam strategi penulisan jurnal berindeks ISI dan berimpak tinggi.
“Seminar ini juga berjaya mengukuhkan hubungan penyelidikan dua hala antara FKEKK, UTeM dan Photonics Research Center (PRC), UM,” katanya.
Antara perkara disentuh Harith Ahmad dalam seminar itu ialah mengenai Interdisciplinary research in Advanced Photonics Engineering.
Selain How to prepare a good proposal for national and international research grant application and strategies to increase H-index & citations dan How to publish in ISI indexed journal.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap; warga penyelidik UTeM; Telekom Malaysia Berhad dan MMU Cnergy, Universiti Multimedia.
Seminar tersebut telah memberikan impak positif kepada kakitangan dan pelajar bagi teknik dalam permohonan geran penyelidikan antarabangsa & kebangsaan selain penulisan jurnal berimpak.