UTeM tingkat keberkesanan alumni

AYER KEROH 11 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempergiat inisiatif dalam memperhebatkan peranan serta impak alumni universiti di segenap peringkat.
Justeru itu, Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, Pejabat Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri & Masyarakat) UTeM menjalankan usaha perincian skop tugasan bagi Penyelaras Alumni dari setiap fakulti di UTeM.
Ia menyentuh tentang hala tuju, perancangan dan cadangan aktiviti alumni bagi tahun 2019, sekali gus memenuhi takwim program alumni di peringkat fakulti dan universiti.
Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Khairuddin Osman berkata, bagi memastikan ia berjalan lancar, penyelaras setiap fakulti dilantik akan membantu mendapatkan maklumat terkini setiap alumni mengikut fakulti.
“Penyelaras yang dilantik turut dapat membantu menjalankan pelbagai gerak kerja yang berkaitan dengan alumni fakulti.
“Selain menjadi penghubung antara pihak universiti dan pihak alumni,” katanya pada perbincangan di Bilik Mesyuarat Samsung IoT Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh baru-baru ini.
Katanya, pada perbincangan itu, beberapa aktiviti telah di rancang untuk alumni seperti menjadi tuan rumah dalam Forum Alumni bersama Universiti Awam dan Majlis Makan Malam Korporat Persatuan Alumni UTeM (AUTeM).
“Perbincangan ini diharap dapat mengulang kembali kejayaan pelaksanaan program-program alumni tahun 2018 seperti Program Hi-Tea AUTeM, program perlawanan bola sepak dan program kejohanan FUTSAL Piala Presiden AUTeM,” katanya.