UTeM tingkat kebolehpasaran graduan

DURIAN TUNGGAL 4 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduannya di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Justeru, inisiatif dilaksanakan oleh Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UTeM adalah pengisian bersama JobsMalaysia.
Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Khairuddin Osman berkata, JobsMalaysia antara cabang yang membantu menyediakan medan pekerjaan kepada mahasiswa dan graduan.
“Di samping itu, terdapat latihan industri menerusi siri karnival kerjaya yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“UTeM bersama JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan menjayakan program Mapping yang membuka ruang lebih luas bersama tiga pihak melibatkan pihak industri,” katanya.
Katanya, program Mapping berfungsi sebagai kerja sambilan yang mengambil tempat pada waktu cuti semester universiti bermula semester pertama pelajar sehingga latihan industri.
“Pelajar akan diberi pendedahan lebih awal mengenai latar belakang industri sehingga mendalami bidang kejuruteraan secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, wakil JobsMalaysia Centre Melaka, Zunita Othman berkata, kerjasama bersama UTeM telah melangkah jauh menerusi pelbagai perkongsian berimpak.
“Selain hubungan baik bersama UTeM, kita bantu mahasiswa dengan memberi pandangan dan penerangan mengenai fungsi industri kepada mereka yang akan menamatkan pengajian,” katanya.