Wan Maimunah diangkat Tokoh Wanita Melaka 2019

Wan Maimunah diangkat Tokoh Wanita Melaka 2019

AYER KEROH 11 Mac – Pelakon veteren, Wan Maimunah terharu apabila dipilih menerima Tokoh Wanita 2019 ketika sambutan Hari Wanita peringkat negeri, di Pusat Dangangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat PH Melaka (HARWANIS) yang juga isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaludin.

Wan Maimunah yang kini menetap bersama anaknya di Sungai Udang berkata, beliau tidak menyangka diraikan menerusi penerimaan anugerah tersebut dalam usia sebegini dan menganggap sebagai rezeki yang diberikan ALLAH SWT.

Menurutnya, anugerah itu bukanlah untuk dibanggakan namun sebagai satu perangsang untuk menjadi hamba ALLAH SWT yang lebih baik walau di mana pun beliau berada.

“Hiba dan tak pernah menjangkakan akan menerima anugerah di usia begini, rupanya masih ada lagi yang menghargai dan sayang.

“Jujur ibu bukan wanita hebat tetapi ALLAH SWT kurniakan ibu kecekalan di hati,” katanya yang selesa menggelarkan dirinya Ibu.

Tambah Wan Maimunah, beliau sentiasa berpegang kepada ‘masa itu ibarat nyawa’ walaupun bergelar mahupun berpangkat jutawan sekalipun namun tidak akan boleh membeli masa yang begitu bernilai dan jangan dipersiakan.

“Apa pun kita semua ibarat lima jari, tak ada lima (solat lima waktu) maka pincanglah diri dan penting jangan lupa pada agama dan tanggungjawab kepada ibu bapa,” katanya.

Terdahulu, Dalilah dalam ucapannya meminta golongan wanita terus memainkan peranan untuk membantu membangunkan negara.

“Tanpa peranan wanita, negara tidak akan dapat membangun seperti sekarang, sumbangan wanita dalam semua bidang iaitu politik, ekonomi, sosial dan agama sangat besar dan selayaknya diberi pengiktirafan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS