Wanita PH kutuk serangan ganas di NZ

AYER KEROH 18 Mac- Wanita Pakatan Harapan (PH) Melaka mengutuk serangan ganas menembak umat Islam di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.
Ketua Wanita PH negeri, Mahani Masban berkata, serangan berkenaan disifatkan sebagai detik paling hitam di negara terbabit dan ia melibatkan puluhan nyawa dalam kalangan orang Islam termasuk kanak-kanak.
“Kami di peringkat negeri, Wanita PH mengecam tindakan biadab itu yang dianggap detik paling hitam dalam sejarah New Zealand,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai mesyuarat Wanita PH negeri di Pusat Dagangan Dunia Antarabangsa (MITC), semalam.
Mahani berkata, atas dasar kemanusiaan, siapa pun akan turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan di luar batasan kemanusiaan itu.
“Tindakan itu dilihat sebagai satu kebiadaban dan penghinaan terhadap agama Islam, kerana serangan dibuat di dalam rumah ibadat yang tidak boleh dicerobohi dan menyebabkan pertumpahan darah.
“Pelaku tersebut boleh kami katakan sebagai bacul dan pengecut,” katanya.
Beliau berkata, Wanita PH negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kejadian itu.
“Kami juga berharap kerajaan New Zealand dan pihak berkuasa bertindak segera dan mengenakan tindakan keras terhadap suspek,” katanya.
Setakat ini, mangsa korban serangan keganasan itu meningkat kepada 50 apabila polis menemui satu lagi mayat di salah satu masjid yang terlibat pada Ahad, menurut laporan Reuters hari ini.