Wanita taksub cantik berdepan risiko guna produk kecantikan beracun

Wanita taksub cantik berdepan risiko guna produk kecantikan beracun

AZLIN…Gemar kelihatan cantik turut berkait rapat dengan lambakan produk kosmetik di pasaran.

BANDARAYA MELAKA 26 Okt. – Masalah kosmetik, kosmetik berdaftar dan kesihatan adalah isu yang perlu diambil berat oleh semua lapisan masyarakat.

Walaupun berdepan masalah sukar untuk menjaga dan menguasai setiap kosmetik serta mengambil tindakan kecuali jika ada pihak yang membuat aduan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) yang juga Duta Kenali Ubat Anda, Azlin Othman berkata, ianya perlu berperanan dan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak.

Ini termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu sendiri dalam melaksanakan operasi, pemantauan terhadap kosmetik.

Terutamanya kosmetik tidak berdaftar yang boleh ancam keselamatan dan membawa maut ke atas pengguna.

Kata Azlin, Lembaga Iklan Ubat (LIU) di bawah KKM pernah dicadangkan untuk menyediakan dana dan tambahkan kakitangan penguatkuasaan.

Selain pemantau sukarelawan dilantik KKM bagi memantau iklan-iklan produk berkenaan yang ditampilkan secara meluas dalam Facebook, blog, televisyen, akhbar dan sebagainya.

“Kehendak manusia tidak terbatas, dilihat relevan dengan arus kemodenan dunia hari ini termasuk permintaan tinggi terhadap pelbagai barangan di pasaran yang mengukuhkan lagi fakta tersebut.

“Salah satu barangan yang berada di barisan paling hadapan berkaitan kenaikan graf penawaran dalam ekonomi dunia ialah produk kosmetik.

“Justeru, penggunaan kosmetik boleh menjaga seri kulit selain beri daya tarikan di mana sesetengah bahan kosmetik ada kandungan kimia yang tinggi.

“Misalnya, merkuri dan logam berat plumbum yang boleh menyebabkan kerosakan sistem saraf dan keracunan bila bahan ini meresap masuk ke dalam badan, mencacatkan muka pemakainya.

“Kebanyakan kosmetik, terutama yang popular sangat mahal harganya. Ini menyebabkan ramai wanita membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membeli barangan kosmetik.

“Wang itu lebih baik digunakan untuk membeli barang keperluan asas, perbelanjaan sekolah juga menyimpan ke dalam bank,” katanya kepada MelakaKini.

Tambah Azlin, produk kosmetik dari Malaysia misalnya, banyak menggunakan tumbuhan-tumbuhan herba, ekstrak buah-buahan.

Di samping menekankan konsep HALAL sebagai menarik minat pembeli dalam kalangan masyarakat Islam
secara umumnya.

Ini termasuk kosmetik cara tradisional dengan menjaga kecantikan tanpa bahan kosmetik bahan kimia dan menjaga kecantikan, malah kesihatan dengan memakan makanan seimbang, sentiasa riang dan banyak bersenam.

Selain menggunakan bahan asli, misalnya menghaluskan muka dengan tomato, mentimun gantikan krim muka dan lain-lain bahan asli seperti telur, jus lemon, minyak zaitun, madu mentah serta santan kelapa dan sebagainya.

Ujarnya, pelbagai kajian dijalankan oleh syarikat-syarikat kosmetik tersebut untuk membuktikan keberkesanan produk masing-masing.

“Siapa yang tidak mahu cantik? Justeru, salah satu cara terbaik untuk mengekalkan penampilan diri adalah dengan menggunakan produk kosmetik.

“Ini kerana masyarakat berlumba-lumba memiliki produk kosmetik dan alasan yang paling munasabah digunakan ialah untuk kelihatan cantik.

“Hal ini antara yang menjadi punca kenapa dan mengapa pengguna begitu obses dengan produk kosmetik di pasaran kerana salah satu bentuk pengaruh yang sangat kuat datangnya dari golongan artis. Memang tidak dapat dinafikan kecantikan, malah kejelitaan artis seringkali dijadikan ikutan masyarakat hari ini.

“Selain pengaruh artis, pengaruh iklan juga dilihat menjadi punca obsesnya pengguna miliki produk kosmetik dengan paparan-paparan iklan di media cetak mahupun elektronik.

“Ia sangat mudah menakluk nafsu pengguna di Malaysia di mana hampir kebanyakan paparan di majalah berkaitan promosi produk kosmetik,” ujarnya.

Justeru, PMPM juga menyarankan agar sikap wanita tentang kosmetik perlu diubah. Mereka perlu fahami pendidikan penggunaan serta matlamatnya dengan amalan besederhana terhadap penggunaan kosmetik oleh mereka.

“Penguatkuasaan akta dadah dan kosmetik dijalankan dengan tegas, misalnya mereka yang bersalah menjual atau membuat kosmetik merbahaya akan dikenakan hukuman yang berat.

“Nasihat pakar kecantikan berkelayakan tentang jenis alat solek atau kosmetik yang sesuai juga perlu dan pakar juga harus punyai etika kerja dan profesion bermutu tinggi, tidak boleh menipu atau terlalu mementingkan keuntungan.

“Sebagai pengguna, sepatutnya lebih bersedia dengan minda yang lebih terbuka dan ilmu yang lebih luas akan membantu untuk membuat pilihan yang ada pada masa depan.

“Usaha perbaiki kualiti produk serta perkhidmatan bagi semua masyarakat adalah keprihatinan ramai serta segala usaha harus diteruskan,” katanya.

CATEGORIES