Warga UTeM terap budaya sukan & amalan gaya hidup sihat

DURIAN TUNGGAL 15 Feb. – Pusat Sukan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan Program Amalan Gaya Hidup Sihat UTeM dan Sukan Antara Jabatan di Stadium Pusat Sukan UTeM, baru-baru ini.
Ia adalah aspek amalan gaya hidup sihat dan budaya bersukan UTeM dan antara elemen diterapkan dalam kalangan warganya di samping fokus kepada kemajuan dan pembangunan universiti terbabit.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim ketika merasmikan program itu berkata, program itu akan menjadi gelombang kecergasan dalam usaha mewujudkan warga kampus yang membudayakan sukan dan amalan gaya hidup sihat.
Menurutnya, selain mengamalkan gaya hidup sihat, acara itu juga mengeratkan silaturahim warga kerja UTeM dalam mewujudkan suasana kerja yang ceria dan efisien.
Majlis perasmian program tersebut turut diserikan dengan pertandingan aktiviti zumba bagi warga universiti, sekali gus menarik penyertaan lebih 200 kakitangan UTeM.
Pertandingan peserta zumba teramai dimenangi gabungan pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Pusat Bahasa & Pembangunan Insan (PBPI) dengan penyertaan seramai 75 peserta.
Majlis disempurnakan Zulkifilie itu turut dihadiri para pegawai kanan universiti dan wakil persatuan di samping turut melancarkan Sukan Antara Jabatan bagi tahun 2019.
Sukan Antara Jabatan 2019 bakal mempertandingkan 20 acara sukan melibatkan seramai 1,200 staf UTeM.
Ianya dijangka berlangsung sepanjang tahun 2019 yang bertujuan membudayakan amalan gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan warga kerja UTeM.
Turut diadakan ialah penyampaian hadiah bagi Sukan Antara Jabatan bagi tahun 2018 di mana johan keseluruhan dimenangi pasukan Pejabat Pembangunan.
Naib johan dirangkul pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan tempat ketiga keseluruhan menjadi milik pasukan Pejabat Ketua Pegawai Maklumat.