Warrma tidak jemu hulur bantuan

AYER KEROH 11 Mac – “Saya tak kisah apa nak jadi, kalau ada orang susah mesti rasa nak tolong sebab tak sampai hati lihat keadaan mereka,” luah R. Warrma.
R. Warrma merupakan antara individu penggerak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti membantu golongan memerlukan sekitar negara.
Katanya, segalanya bermula sejak beliau masih di bangku sekolah, dimana bapanya kerap membantu golongan miskin.
“Bapa saya ketika itu merupakan ketua kampung, jadi sikapnya yang gemar membantu orang susah banyak mengajar saya erti kemanusiaan sejak kecil.
“Jadi bila susah menginjak ke alam dewasa, perkara menolong orang susah itu sudah sebati dalam diri sendiri,” katanya.
Warrma yang turut menjalankan perniagaan sebagai penyiasat peribadi turut berkongsi beberapa pengalamannya mengendalikan kes profil tinggi termasuk membawa pulang rakyat Malaysia di India.
Jelasnya, kes itu sangat sukar hingga memaksa beliau menghubungi rakannya di negara terbabit untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku.
“Kejadian itu berlaku hanya baru-baru ini, selepas saya menerima pesanan dari rakan memberitahu terdapat seorang rakyat Malaysia bersama dua anak yang memohon untuk kembali ke negara asal setelah menetapkan melepasi had masa ditetapkan.
“Wanita itu memberitahu dia bersama anaknya pergi ke negara itu untuk mencari suaminya yang juga rakyat negara ini.
“Namun, jodoh mereka tidak panjang selepas suami yang ditemui meninggal dunia akibat kanser, ia antara kes paling rumit pernah dikendalikan kerana melibatkan banyak pihak dan prosedur,” katanya.
Warrma berkata, wanita dan anaknya itu bagaimanapun telah selamat tiba di Malaysia baru-baru ini selepas menetap di Chennai, India selama beberapa tahun.
Tambah Warrma, segala kebajikan yang dilakukannya adalah atas sifat kemanusiaan dan tidak mengharap apa-apa balasan.
“Saya akan cuba mana yang saya mampu, jika bukan kita sebagai manusia, siapa lagi yang mahu.
“Asalkan mereka gembira sudah cukup buat saya,” katanya.
Warrma baru-baru ini telah dianugerahkan gelaran Doktor oleh sebuah universiti di negara ini.