Zoo Melaka dan Taman Burung tutup 14 hari

Zoo Melaka dan Taman Burung tutup 14 hari

SIDANG media sempena Penyerahan Pengurusan Zoo Melaka dan Night Safari serta Taman Burung antara Syarikat Konsortium KKW Sdn. Bhd. kepada MPHTJ, hari ini.

AYER KEROH 1 Okt. – Zoo Melaka dan Night Safari serta Taman Burung ditutup 14 hari kepada pengunjung disebabkan proses peralihan pengurusan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew berkata, penutupan itu berkuat kuasa 1 Oktober hingga 14 Oktober 2018.

Menurutnya, MPHTJ mengambil alih pengurusan dan pemilikan Zoo Melaka dan Night Safari serta Taman Burung daripada Syarikat Konsortium KKW Sdn. Bhd.

“Pihak KKW Sdn. Bhd. telah melanggar perjanjian yang dipersetujui pada 31 Disember 2012 dan demi menjaga kepentingan kedua-dua ikon pelancongan ini kerajaan negeri mengambil alih semula tempat ini.

“Tempoh 14 hari ini adalah untuk kita melaksanakan pengauditan semula haiwan dan aspek-aspek lain sebelum dibuka kepada pengunjung semula,” katanya.

Kok Kiew berkata demikian pada sidang media sempena Penyerahan Pengurusan Zoo Melaka dan Night Safari serta Taman Burung antara Syarikat Konsortium KKW Sdn. Bhd. kepada MPHTJ, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masban dan Pengarah Urusan Konsortium KKW Sdn. Bhd. (KKW), Datuk Michelle Ong.

KAKITANGAN Syarikat Konsortium KKW Sdn. Bhd. membawa keluar peralatan milik mereka dari Zoo Melaka dan Night Safari.

Terdahulu MPHTJ dan KKW Sdn. Bhd. telah mengadakan pertemuan mendapatkan persetujuan antara kedua pihak bagi proses ambil alih dan MPHTJ dibenarkan masuk serta memulakan proses inventori haiwan dan penilaian aset bermula 29 September 2018.

Manakala KKW Sdn, Bhd. diberi tempoh 14 hari bermula 28 September 2018 hingga 11 Oktober 2018 bagi proses peralihan.

Pada masa sama, 70 kakitangan Zoo Melaka dan Night Safari serta Taman Burung ditawarkan untuk meneruskan perkhidmatan bersama MPHTJ.

 

 

CATEGORIES
TAGS