Zoo Melaka raih lebih RM200,000 kutipan kurang dua minggu beroperasi

Zoo Melaka raih lebih RM200,000 kutipan kurang dua minggu beroperasi

AKTIVITI gotong-royong yang dijalankan MPHTJ turut disertai kakitangan McDonald’s cawangan Ayer Keroh dan pelajar UTeM, sebentar tadi.

AYER KEROH 18 Okt. – Seramai 16, 763 pengunjung mula mengunjungi Zoo Melaka dengan kutipan mencecah RM207,800.40 bermula 5 Oktober 2018 hingga 17 Oktober lalu, sejak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil alih kembali kawasan itu dan Taman Burung di Ayer Keroh pada 1 Oktober lalu.

Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masban berkata, jumlah yang direkodkan itu menunjukkan orang ramai mula tertarik dengan perubahan yang dilakukan MPHTJ.

Katanya, kutipan tertinggi dicatatkan pada hari ketiga beroperasi (7 Oktober) dengan nilai RM53,560 melibatkan lebih 48,000 tiket terjual.

“Kutipan yang diraih kurang dari dua minggu sejak memulakan operasi pada 5 Oktober lalu amat memberangsangkan.

“Dan MPHTJ juga komited menjenamakan semula beberapa pengisian sedia ada, antaranya Night Safari pada 26 Oktober depan, menambah perkhidmatan beca elektrik di Zoo Melaka, mengenalkan haiwan baru, aktiviti-aktiviti baru, program pendidikan, program khidmat masyarakat dan program anak angkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Zoo Melaka MPHTJ bersama kakitangan McDonald’s cawangan Ayer Keroh dan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini sebentar tadi.

MPHTJ mengambil alih Zoo Melaka dan Taman Burung dari syarikat konsortium KKW Sdn. Bhd pada 1 Oktober lalu selepas mendapati pengurusan zoo berada pada tahap kurang memuaskan berbanding zoo di negara jiran ketika dikunjungi Ketua Menteri, Adly Zahari pada 28 Ogos lalu.

Berhubung audit yang dilakukan, Mahani menjelaskan perkara itu sedang dilakukan.

“Sedang dijalankan masih ada beberapa perkara yang sedang dicari antara kita dengan pihak lama,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber Taman Burung di Ayer Keroh ditutup buat sementara waktu berhubung infrastruktur yang merbahaya diikuti beberapa spesies burung mati akibat kurang dijaga sepenuhnya.

Menurut sumber itu lagi, bermula dengan 200 ekor burung pelbagai spesies, Taman Burung Melaka kini hanya mempunyai 38 ekor sahaja dan bakinya dipindahkan ke Zoo Melaka sementara menunggu kawasan berkenaan dibaiki sepenuhnya.

CATEGORIES
TAGS